Monday, 28 September 2020

Itinerari: 8 Tempat Menarik Yang Anda Boleh Lawati Di SIngapura Dalam Masa Satu Hari


Singapura merupakan sebuah negara yang terletak di hujung selatan Semenanjung Malaysia. Ia merupakan sebuah bandaraya global metropolitan yang memainkan peranan penting dalam perdagangan dan kewangan antarabangsa menjadikan Singapura sebagai pusat kewangan keempat yang terunggul. 

Pelabuhan Singapura merupakan salah sebuah daripada lima pelabuhan paling sibuk di dunia.

Singapura mencatatkan sejarah penghijrahan yang sangat lama menjadikan Singapura negara yang kedua paling padat dengan penduduk di dunia selepas Monaco.

Singapura merupakan negara yang mempunyai kualiti hidup terbaik di Asia dan kesebelas terbaik di seluruh dunia dalam senarai "Quality-Of-Life Index".

Singapura memiliki rizab pertukaran asing kesembilan terbesar di dunia.

Negara ini juga dilengkapi dengan angkatan tentera yang canggih dan lengkap dari segi teknologinya.

Dari maklumat ini kita dapat tahu yang Singapura merupakan sebuah negara yang maju dan moden walaupun mempunyai keluasan yang sangat kecil.

Walaupun mempunyai keluasan yang sangat kecil, namun terdapat banyak tempat menarik untuk anda lawati di Singapura dan terus terang saya katakan, untuk meneroka semua tempat menarik di Singapura, satu hari sahaja tidak cukup. 

Sekiranya anda berada di Johor Bahru dan mempunyai masa satu hari sahaja untuk melawat Singapura, anda mungkin boleh pertimbangkan cadangan itinerari saya.

Rugilah saya katakan sekiranya anda berada di Johor Bahru tetapi tidak menggunakan peluang yang ada untuk melawat Singapura. 

Singapura mempunya sistem LRT dan pengangkutan awam yang sangat baik dan boleh dikatakan antara yang terbaik di dunia. 

Anda boleh menaiki bas dari JB sentral menuju ke Woodlands, Singapura dengan tambang hanya RM1.60 sahaja dan dari Woodlands ke JB dengan harga SGD1.60. 

Sebelum saya masuk ke topik utama entri ini, saya kongsikan dahulu peta Sistem MRT di Singapura untuk rujukan anda.



Anda perlu tahu terlebih dahulu apakah tujuan dan matlamat anda melawat Singapura?

Adakah anda berniat untuk shopping tau sekadar melihat tempat-tempat menarik dan bersejarah di Singapura?

Itinerari yang saya kongsikan ini lebih kepada sigt seeing sebab susah kalau shopping dengan menaiki kenderaan awam.

Bimbang nanti terbeli banyak barang, susah nak bawa nanti. Kalau setakat shopping sikit-sikit like souvenir tu tidak menjadi masalah!

Dari Woodlands, anda boleh menaiki MRT North South Line yang berwarna merah (rujuk peta) menuju ke Newton Station kerana di sini anda perlu transit menaiki downtown line yang berwarna biru. 

Setelah menaiki Downtown Line, anda stop di Bugis Station.

Di sini anda boleh explore banyak tempat yang terletak di kawasan sekitarnya seperti:

Bugis Junction

Bugis junction, singapore
Image: Maksym Kozlenko

Sampai sahaja ni Bugis Station, anda mungkin boleh mencuci mata sebentar melihat barang-barang yang dijual di Bugis Junction yang bersambung terus dengan Bugis MRT Station oleh jambatan yang berhawa dingin. 

Bugis Junction merupakan salah satu mall yang sangat popular di Singapura. Terdapat gedung membeli belah di sini sama ada di ruangan indoor atau pun outdoor.

Terdapat pelbagai butik jenama terkenal di sini seperti Topshop, Levi's, Converse, Adidas dan banyak lagi. 

Apa yang menarik dengan Bugis junction adalah bumbung kaca besar yang menyediakan tempat perlindungan yang cantik dan rumah kedai dengan ciri kolonial serta gerai-gerai penjaja yang terletak di jalan utama. 

Bugis Street Market

Image: Dion Hinchcliffe

Bugis Street Market terletak tidak jauh dengan Bugis Junction. Ia adalah salah satu tempat membeli belah yang terbesar, termurah dan dan terpanas di Singapura. Oleh sebab itu ramai yang memilih untuk membeli belah di sini pada waktu malam yang lebih sejuk. 

Bugis Street Market terkenal kerana ia merupakan salah satu tempat shopping termurah di Singapura untuk mendapatkan barang seperti souvenirs, aksesori, pakaian, barang elektronik, houseware dan kosmetik. 

Anda boleh dapatkan barang seperti key chains, postcard dan stationary semurah SDG1 di sini.

Anda juga boleh membeli sluar jeans dengan harga SGD15, baju dan kemeja semurah SGD10, cermin mata hitam dan topi semurah SGD5 dan kasut semurah SGD20. 

Jadi, berhati-hatilah jika anda melalui kawasan ini. Sekiranya anda rasa iman anda tak kuat, boleh elakkan. 

Kebanyakkan gerai di sini buka sekitar jam 11 pagi dan tutup sekitar jam 11 malam pada hujung minggu. 

Selain barang-barang yang saya sebut sebelum ini, terdapat juga gerai-gerai yang menjual makanan dan minuman seperti jus buah yang segar seperti jus kelapa, jus pisang, nenas dan tembikai dengan harga SGD2 sahaja. 

Terdapat juga gerai-gerai lain yang menjual makanan ringan seperti sate, mi dan sebagainya. Tapi hati-hati dengan status halal ya. 

Anda hanya perlu berjalan kaki sahaja dari Bugis MRT Station untuk ke sini. 

Restoran Zam Zam

Image: Tasteatlas

Seterusnya, sudah pasti anda lapar kan setelah hampir separuh hari dari JB hingga ke Bugis Street Market. 

Saya cadangkan anda mengisi perut anda di Restoran Zam Zam yang terletak lebih kurang 550 meter dari Bugis Street.

Anda boleh memilih untuk berjalan kaki ke sini atau mengambil teksi/grab car. 

Restoran Zam Zam sangat popular dengan murtabak yang bersaiz besar, tebal dan padat dengan isi, ditambah pula dengan keju.. perghhh!!!

Anda boleh memilih sama ada ingin mencuba murtabak daging rusa, murtabak daging kambing atau murtabak daging ayam. 

Kebanyakan pelanggan yang datang ke sini akan memilih untuk mencuba murtabak daging rusa. Rare kan! 

Selain dari murtabak, anda juga boleh mencuba nasi beriani yang beraneka jenis dan sangat sedap. 

Harga makanan di sini pun not bad. Around SGD6 - SGD20 (anggaran).

Restoran ini dibuka pada setiap hari bermula jam 7 pagi hingga jam 11 malam. 

anda boleh lihat sendiri menu yang disediakan oleh Restoran Zam Zam melalui website mereka seperti berikut:

https://zamzamsingapore.com/

Masjid Sultan

Image: Airpaz Blog

Dah kenyang perut makan di Restoran Zam Zam, jangan lupa solat pula di Masjid Sultan. Tak jauh pun dengan Restoran Zam Zam. Anda hanya perlu melintas seberang jalan sahaja kerana Masjid Sultan terletak betul-betul berhadapan dengan Restoran Zam Zam. 

Masjid Sultan merupakan Masjid utama di Singapura yang terletak di sekitar kawasan Kampong Glam. 

Masjid Sultan telah dibina pada tahun 1824 oleh Sultan Hussein Shah. Namun demikian, pada tahun 1924, struktur asal masjid tersebut telah dirobohkan.

Empat tahun kemudian, ia dibangunkan semula di tapak yang sama di mana struktur bangunan tersebut masih kekal sehingga kini.

Kemudahan yang disediakan oleh Masjid Sultan sangat mesra warga tua kerana mempunya lif untuk memudahkan warga tua yang tak mampu menaiki tangga menunaikan ibadat di tingkat atas.

Malay Heritage Centre

Image: Hani Othman

Malay Heritage Centre terletak betul-betul bersebelahan dengan Masjid Sultan. Terdapat lebih kurang 10 galeri di sekitar bangunan lama ini. Semuanya berkisarkan kisah orang Melayu Singapura.

Di sekitar halamannya terdapat pokok-pokok traditional orang melayu yang ditanam di sini seperti daun kari, daun serai, daun kesom dan banyak lagi. 

Malay Heritage Centre buka pada setiap hari Khamis hingga Ahad bermula jam 10 pagi hingga jam 6 petang.


Arab Street


Arab Street terletak tidak jauh dengan Masjid Sultan. Di jalan ini terdapat banyak kedai-kedai yang menjual barang-barang khas orang Islam seperti pakaian, aksesori, kristal, batu permata yang rare.

Selain itu, terdapat banyak juga restoran dan cafe yang menyajikan hidangan yang halal.

Kedai-kedai ini mula beroperasi pada waktu tengah hari hingga pukul 8 malam. 

Garden By the Bay

Image: Hani Othman

Setelah puas meneroka sekitar Bugis Street dan Kampung Glam, anda boleh meneruskan perjalanan anda ke Garden By The Bay pula di mana anda perlu menaiki MRT di Bugis Station dan turun di Bayfront. 

Dari Bayront, anda just jalan kaki ikut signboard sahaja dan anda akan terus jumpa Garden By The Bay sebab memang dah siap sedia laluan bawah tanah dari MRT Bayfront menuju ke Garden By The Bay.

Garden by The Bay merupakan sebuah nature park yang sangat luas dan cantik terletak tidak jauh dengan Marina Bay.

Ia terbahagi kepada beberapa jenis taman iaitu Flower Dome, Cloud Forest, Children Garden, Skyway, Floral Fantasy dan banyak lagi.

Ada beberapa park perlu bayar untuk masuk dan ada juga yang boleh akses secara percuma. 

Anda boleh baca dengan lebih lanjut di laman web di bawah:


Lepas anda buka website ni mesti anda akan rasa teruja nak pergi dan explore Garden By The Bay.

Serius saya katakan yang anda tak akan menyesal pergi sini. Sangat-sangat recommended! Tapi anda memerlukan stamina yang tinggi untuk teroka semua taman yang terdapat di Garden By The Bay sebab taman ini tersangat luas dan terlalu banyak nak explore. 

Tetapi terdapat buggy disediakan untuk mereka yang tak larat berjalan. Untuk naik Buggy tu tak silap saya perlu bayar certain amount which is saya dah lupa berapa. 

Saya lebih suka jalan kaki sebab lebih bebas untuk bergerak. 

Merlion 

Image: Hani Othman

Seterusnya anda boleh ke Merlion Park. Merlion adalah simbol mitos Singapura dan sangat popular di kalangan pelancong yang datang ke Singapura.

Terdapat patung yang berbentuk separuh ikan dan separuh singa yang mempunyai air pancut yang mengalir ke Marina Bay. Ia menjadi simbol ikonik bagi Negara Singapura yang patut dilihat oleh para pelancong.

Ada mengatakan bahawa badan ikan Merlion mewakili permulaan Singapura yang sederhana sebagai sebuah perkampungan nelayan kecil.

Kepala singa pula berasal dari nama asli negara tersebut yang bermaksud Kota Singa dalam bahasa Melayu

Patung ini terletak di 1 Fullerton berhampiran tepi laut di Marina Bay. Dari sini anda boleh melihat bangunan yang cantik seperti bangunan Marina Sand yang berbentuk seperti kapal di atas bangunan tersebut. 

Di sini juga terdapat pelbagai cafe untuk anda lepak sambil menikmati pemandangan yang indah. Selain itu terdapat juga kedai cenderamata sekiranya anda ingin membeli sesuatu untuk dijadikan kenangan.

Image: Hani Othman

Anda boleh pulang dengan menaiki MRT di Raffles Place dengan mengambil North South Line yang berwarna merah. Line ini akan terus membawa anda ke Woodlands.

Dalam masa sehari sahaja anda dapat meneroka banyak tempat menarik yang terdapat di Singapura. Menarik bukan?

Saya harap perkongsian saya ini dapat membantu anda menyusun perjalanan anda di Singapura.

Selamat Melancong!











No comments:

Post a comment