Seperti yang diminta oleh organizer, pukul 9 pagi kami semua dah bersiap sedia di lobby hostel dengan bag masing-masing. 

2 buah kenderaan iaitu sebuah van dan sebuah kereta 4WD dah siap menunggu kami di bawah.

Selepas selesai memasukkan barang ke dalam kenderaan, kami dibawa ke area Masjid Chengdu untuk sarapan. 


Ada beberapa buah kedai makan halal di area Masjid Chengdu ini tapi untuk breakfast pagi ini kami pergi restaurant ini. 


Entah apa nama restaurant ni. Susah Hani nak explain nama restaurant ini sebab dalam Bahasa Cina. Kalau cari kat google pun masalah juga sebab kita tak akan faham pun nama kedai. Kebanyakan kedai di sini semua papan tandanya dalam bahasa cina. 

Tapi untuk memudahkan rujukan anda, anda pergi ja dekat area Masjid Chengdu. Lepas tu lintas jalan dan blok ke kanan sampai ke hujung. Kedai ni dekat corner lot. 

Ada gerai-gerai jual roti nan dan satay kambing dekat luar. Hani tengok ramai orang yang lalu lalang di sini akan singgah beli roti nan dekat restaurant ini. 

Lokasinya agak strategik, betul-betul dekat trafik light dan tempat orang melintas jalan. 

Pak Am order nasi kambing, roti nan dan satay kambing untuk kami semua. Memang terbaik makanan kat restaurant ini especially roti nan dan satay kambing dia. 


Sorry gambar satay kambing dengan roti nan tak sempat nak ambil sebab lapar sangat time ni. 

Selesai makan, kami berjalan menuju ke area masjid semula sebab kenderaan kami parking di sana. Masa on the way ke sana, kami singgah sekejap di sebuah kedai serbaneka yang macam ala-ala 7E. 

Kedai ini menjual semua makanan dan minuman halal termasuk daging dan ayam. So, anda tak perlu rasa risau dan was was. 



Antara daging halal yang dijual di kedai ini.

Tak jauh dari kedai ini terdapat kedai menjual daging fresh yang halal juga.

Kot lah anda rajin nak buat masak kurma daging atau rendang daging dekat hotel, boleh la shopping daging fresh dekat sini. 


Sebaik sahaja kami tiba di tempat parking kereta, kami lihat driver tengah jolok dawai ke dalam cermin kereta. Macam pencuri dah rupanya. 

Pelik. Apa yang berlaku? 

Rupanya kereta terkunci dan kunci berada di dalam kereta.

Ah, sudah. Hani dah mula risau dah. 

Entah pukul berapa nak sampai Rilong nanti. 

Nasib baik jadual perjalanan tak pack sangat hari ni. 

Bagus organizer sebab sentiasa letakkan ruang masa untuk perkara-perkara yang tak disangka nak berlaku macam kes ini. 


Macam-macam cara digunakan oleh driver kami untuk buka pintu kereta dan akhir sekali mereka terpaksa memanggil pakar untuk membuka pintu kereta.

Hani rasa lebih kurang satu jam kot kami tunggu sehingga pintu berjaya dibuka. Kami semua bersorak gembira sebaik sahaja pintu berjaya dibuka. 

Kemudian kami meneruskan perjalanan menuju ke Rilong. 

Menurut Pak Am, kami akan melalui Mount Balang by Pass untuk acclimatization sebelum menuju ke Rilong di mana ketinggian gunung tersebut adalah 4,487 meter. 

Wow! lagi tinggi dari Gunung Kinabalu. Just imagine anda naik Puncak Gunung Kinabalu dengan hanya menaiki kereta. Haha...

Tujuan acclimatize adalah untuk membiasakan badan kami dengan ketinggian untuk elak masalah penyakit akut gunung (AMS) ketika mendaki nanti. 

Sepanjang perjalanan, kami melalui beberapa terowong yang tak terkira banyaknya.. panjang pulak tu. 

Kami juga melintasi sebuah tasik, sungai dan gunung-ganang sepanjang perjalanan menuju ke Rilong. 

Pemandangan sangat indah sepanjang perjalanan. 

Hani hanya tertidur sekejap semasa awal perjalanan. 

Lepas tu dah tak boleh tidur sebab seronok menikmati pemadangan yang indah. 


Sekali-sekala driver kami akan berhenti di tepi jalan untuk memberi peluang kepada kami bergambar di lokasi-lokasi yang menarik. 

Hani perasan budaya masyarakat kat sini, mereka boleh sesuka hati sahaja berhenti kereta di tepi jalan walaupun di kawasan selekoh. 

Beberapa kali kami terkejut sebab tiba-tiba ada kereta berhenti di tepi jalan. Tepi pun tak tepi sangat la. Dekat dengan tengah-tengah jalan juga. Hampir-hampir terlanggar. 

Tapi driver kami tu rileks ja. Kalau kat Malaysia confirm kena hon dah atau boleh jadi pergaduhan. Huhu... 

Kami cuba untuk berbual dengan driver tapi driver tersebut tak faham apa yang kami cakapkan. 

Pak Am cuba bertanya namanya tapi dia asyik menggeleng kepala sahaja.

Last-last kami semua give up. Lebih baik kami layan view kat luar sana haa. Lagi best. Huhu...

Gambar Yang diambil dari dalam kereta ketika dalam perjalanan menuju ke Mount Balang

Mount Balang yang berketinggian 4,487 meter

Ada orang jual daging yak juga di sini.

Selepas lebih kurang sejam di sini kami bergerak menuju ke Rilong yang berada pada  ketinggian 3,500 meter. 

Kami tiba di Riyue Hostel lebih kurang pukul 4 petang. Selepas menguruskan pengambilan kunci bilik kami diminta untuk berkumpul di lobby untuk ice breaking dan mendengar briefing dari Pak Am tentang program esok dan seterusnya.

9 orang pendaki berkumpul. Seorang pendaki lagi iaitu Abang Ayob akan tiba di Rilong pada keesokkan harinya. Di sini Hani baru mengenali Mat Din dan sedikit latar belakang dia serta isterinya yang merupakan pendaki wanita kedua yang berjaya menjejak puncak Gunung Everest. Pergh! Pasangan suami Isteri yang hebat!

Hani gembira dapat sertai trip ini sebab dapat berkenalan dengan mereka yang mempunyai latar belakang yang hebat. 

Malam itu kami hanya dinner dengan memasak makanan yang dibawa dari Malaysia. Makan cara alpine bak kata Pak Am. 

Selepas dinner kami mengadakan mesyuarat di lobby. Sambil-sambil itu kami memeriksa kandungan oksigen dalam badan dan heart rate menggunakan oximeter.

Bacaan SpO2 Hani agak kurang iaitu 77% dengan heart rate yang agak tinggi. 

Dr. M mula bertanya Hani sama ada Hani ada rasa sakit kepala atau tidak. Tapi Hani tak rasa apa-apa tanda pening atau sakit kepala setakat ini

Menurut Dr. M, Hani tak perlu risau kalau Hani tak rasa sakit kepala. Mungkin pada ketika ini badan Hani sedang cuba untuk menyesuaikan dengan altitud tinggi dan bacaan akan kembali normal pada keesokkan hari. 

Lega Hani dengar. Risau juga sebab Hani tak biasa sangat dengan altitude tinggi melainkan gunung kinabalu dan Snow Mountain.

Pengalaman Hani di kedua-dua gunung ini, Hani akan mengalami sakit kepala apabila berada pada ketinggian 3,000 meter tapi akan kembali normal selepas sejam. 

Lebih kurang pukul 9.30 malam, kami membuat pemeriksaan kelengkapan. Kami diminta untuk menyusun kelengkapan pendakian kami di atas katil untuk diperiksa oleh Pak Am. 



Selesai sahaja pemeriksaan kelengkapan, kami terus mengemas barang dan mengasingkan barang-barang yang akan dibawa untuk pendakian dengan barang-barang yang akan ditinggalkan di Rilong.

Suhu lebih kurang 4 Darjah Celcius. Hani cuba tidur dengan menutup seluruh badan Hani termasuk muka dengan selimut tapi tak boleh lama-lama sebab rasa sesak nafas.