Gambar dari carian google

Perjalanan hari ini bermula seawal jam 9 pagi setelah segala urusan check out selesai.

Sebelum meneruskan perjalanan, kami sempat singgah sebentar di Samila Beach yang terletak lebih kurang 58 KM dari D'Aman Resort and Hotel dan mengambil masa lebih kurang 55 minit untuk ke sini.

Samila Beach 

Samila Beach merupakan lokasi yang sangat popular di kalangan pelancong yang datang ke Songkhla.

Di sini terdapat sebuah patung ikan duyung yang sangat popular sampai ada pelancong yang sanggup beratur panjang semata-mata nak bergambar dengan patung ikan duyung ni.


Sebenarnya ada cerita di sebalik patung ikan duyung ini. Tapi Hani tak pasti cerita ini sahih atau tidak sebab Hani dapat cerita ini pun melalui pencarian di google.

Katanya pada suatu ketika dahulu ada seekor ikan duyung selalu muncul di pantai ini sambil menyisir rambutnya menggunakan sikat emas.

Bila ikan duyung tersebut menyedari kehadiran seorang nelayan di situ, ia menjadi takut lalu terus menghilangkan diri sehingga tertinggal sikat emas tersebut.

Nelayan tersebut menunggu di pantai setiap hari dengan harapan ikan duyung itu akan muncul sekali lagi untuk memulangkan sikat emas tersebut. Namun demikian, ikan duyung tersebut tetap tidak muncul.

Selain patung ikan duyung, terdapat juga patung kucing dan tikus di Samila Beach. Patung kucing dengan tikus ini juga mempunyai ceritanya tersendiri.


Seekor anjing, kucing dan tikus telah mencuri sebuah kristal ajaib dari seorang pedagang China dalam sebuah sampan dan ketiga-tiga binatang ini cuba berenang menuju ke darat.

Namun demikian, tikus dan kucing tersebut telah lemas di tengah laut dan akhirnya berubah menjadi sebuah pulau yang dikenali sebagai Pulau Kucing dan Pulau Tikus atau dalam nama Thai adalah Koh Maeo dan Koh Nu.

Si anjing pula berjaya berenang hingga ke darat tetapi mati akibat kepenatan dan bertukar menjadi sebuah bukit yang dipanggil Hin Khao Tang Kuan.

Kristal yang dicuri itu pula telah musnah dan berubah menjadi pantai yang berpasir.


Anda boleh menunggang kuda di sini dengan kadar sewa 150 Baht seorang.

Terdapat banyak gerai-gerai yang menjual makanan halal dan ada juga kedai-kedai yang menjual souvenir di sekita Samila Beach.



Di hujung sebelah kanan Samila Beach ada restoran seafood. Kami sempat membeli oyster 10 ekor dan beberapa ekor belangkas untuk buat BBQ di Koh Samui malam nanti.

Hani tak ingat berapa harga oyster dan belangkas tersebut tapi yang pasti harganya tidak semahal di Malaysia.



Cuaca bulan 12 tak begitu baik. Hujan lebat ketika kami dalam perjalanan menuju ke kereta menyebabkan kami terpaksa berteduh seketika di sebuah gerai yang menjual cucuk-cucuk bakar.

Sementara menunggu hujan reda, Hani dengan suami sempat meratah oyster dulu manakala yang lain especially anak buah Hani bukan main sakan lagi shopping cucuk-cucuk bakar. Huhu..

Perjalanan dari Songkhla Menuju Koh Samui

Terdapat dua laluan dari Songkhla menuju ke Donsak Pier seperti yang Hani tunjukkan di dalam peta di bawah.


Route 1: Melintasi Songkhla Lake dengan menaiki feri di Songkhla Lake. Masa perjalanan adalah 4 jam 5 minit

Route 2: Menggunakan jalan darat. Tempoh masa perjalanan adalah 4 jam 33 minit

Kami memilih untuk ikut route 1 iaitu dengan menaiki feri melintasi Tasik Songkhla yang mengambil masa lebih kurang 25 minit manakala jarak dari Samila Beach menuju ke ferry port hanya lebih kurang 2 KM sahaja.

Harga tiket yang kami bayar untuk satu kereta dengan 4 orang dewasa dan seorang kanak-kanak adalah 50 Baht.

Masa tengah beratur tunggu nak masuk dalam ferry ada 2 orang kanak-kanak yang menjaja makanan dari kereta ke kereta. Buah mangga cicah asam serbuk satu plastik dijual dengan harga 20 Baht. Ada sebiji buah mangga dalam satu plastik tu dan dipotong siap-siap. Sekali dengan biji buah mangga dimasukkan dalam plastik tu.

Selepas melintasi Nakhon Si Thamrat, kami singgah makan dan solat dahulu di sebuah masjid yang betul-betul terletak di sebelah jalan. Di seberang jalan bertentangan dengan masjid tersebut ada sebuah gerai yang menjual mee celup halal.

Lebih kurang jam 5 tiba di Donsak Pier untuk membeli tiket ferry. Jumlah yang kami bayar adalah 940 Baht untuk sebuah kereta.

Dewasa: 150 Baht x 3
Kanak-kanak: 70 Baht x 1
Kereta dan Pemandu: 420 Baht

Ferry kami adalah pada jam 6.30 petang.


Kereta beratur untuk masuk ke ferry
Sunset view dari laluan pejalan kaki menuju ke ferry

Kereta memasuki ferry
Perjalanan dari Donsak Pier menuju ke Koh Samui mengambil masa selama 1 jam 30 minit.

Kami tiba di Koh Samui jam 8 malam dan terus menuju ke Villa kami yang terletak di Choeng Mon Beach. Perjalanan kami ke Villa mengambil masa lebih kurang 1 jam.

Lebih kurang jam 9 malam kami tiba di Coco Private Pool Villa Beachside Resort. Villa ini terletak agak jauh dari pekan dan jalan sangat gelap.

Mulanya kami sesat tapi akhirnya kami jumpa juga villa tersebut selepas telefon Host villa tersebut.

Nasib baik Hani kenal palang pintu masuk ke Villa ini seperti yang terdapat di dalam Booking.com

Hani agak terkejut masa mula-mula masuk ke villa tersebut. Kolam kelihatan agak kotor disebabkan hujan dan angin di siang hari. Maka di dalam kolam dipenuhi oleh daun-daun. Host villa tersebut meminta maaf kepada kami atas kesilapannya menyediakan villa dan berjanji akan membersihkan kolam awal pagi esok.

Selepas selesai berurusan dengan Host, kami terus mengeluarkan bahan-bahan untuk memasak. Nasib baik Qawiem menang hadiah cabutan bertuah 5 kg beras semalam. Boleh la kami guna beras tersebut untuk makan malam ni.

View dari luar villa

Buka ja pintu utama terus nampak view ni


Ruang tamu. Sofa L tu adalah sofa bed. Boleh tarik untuk dijadikan katil. Sofa yang satu lagi tu pulak boleh simpan barang seperti bag-bag di bawah tempat duduk. 3 orang anak buah Hani, Humairah, Qawiem dan Ayong tidur di sini.

swimming pool dia boleh tahan dalam jugak. Air dia rasa agak payau bila masuk mulut.

Kat depan tu ada bahagian cetek punya. Baby boleh mandi kat sini

Master bedroom. Mentua Hani tidur di sini. 

Bedroom 2 merangkap bilik Hani dan suami.

Bedroom 3 merangkap bilik adik ipar Hani dan isteri

Hani book villa ni melalui Booking.com. Jumlah harga untuk 2 malam bagi villa ini adalah 8300 Baht bersamaan RM1060 untuk 2 malam.

Pada Hani agak murah untuk 9 orang berbanding ambil hotel. Cuma jauh sikit dari pekan. Tapi kami tak keluar sangat pun sebab sepanjang di sini kami hanya memasak sendiri.

Kesimpulannya, Hani agak berpuas hati tinggal di sini untuk 2 hari berama keluarga. Memang sesuai untuk bawa keluarga dan kanak-kanak ke sini tapi make sure kena ada transport sendiri sebab lokasi yang agak terpencil dan jauh dari pekan dan attraction.